Wednesday, January 19, 2011

Nilai berbeza

Suasana petang yang cukup mendamaikan jiwa, dengan angin yang menyapa lembut. Matahari semakin suram menandakan hari ini bakal berakhir. Seusai menunaikan hak Asar, hati terpanggil untuk berkebun di atas tanah yang hanya sekangkang kera. Asyik rasanya mencantas rumput-rumput yang sedang gelojoh membesar, menggembur-gemburkan tanah yang subur (walaupun tidak sesubur tanah Tawau..hehe), melihat cacing-cacing tanah yang sangat malu dan terus lari bersembunyi di dalam tanah setiap kali ana terjumpa 'mereka'. Terimbau kenangan zaman kanak-kanak di kampung. Dulunya ana semacam sudah terbiasa dengan kekotoran tanah dan kehadiran lipan-lipan kecil, tapi kini semacam telah ada sedikit perasaan takut dan geli. Paling seronok bila bapa menanam jagung manis, kacang tanah, dan ubi jalar. Ana orang paling rajin yang akan ke kebun setiap kali balik dari sekolah. Manisnya waktu itu untuk dikenang.

Tersentap seketika mendengar suara nyaring seorang wanita memarahi jiran sebelah rumah. Terpanggil untuk memahami keadaan, ada dapat lihat seorang wanita muda meleter jirannya kerana 'membuang' kucing yang dia jaga. Sebelum ini ada juga ana melihat kelibat kucing tersebut berlegar-legar di halaman rumah cuba mencari sedikit makanan untuk memenuhi tuntutan hidup sebagai haiwan. Melihatkan perut kucing tu 'kembung' pastilah kucing tu mengandung. Setiap hujung minggu ana balik ke Kuala Lumpur, jadi ana tak ambil tahu sangat tentang kucing mengandung tu.



Mendengarkan leteran wanita tu, tahu lah ana yang kucing tu dah pun melahirkan anak. Tetapi kenapa lelaki tu tergamak pisahkan ibu kucing dan anak-anak kucing yang baru sahaja melihat dunia ni?? Ana tak pasti apa alasan sebenar lelaki tu semacam tiada rasa belas kasihan, rasa sayang pada makhluk Tuhan yang serba kekurangan. Logik akal fikiran, macam mana lah anak kucing tu nak cari makanan untuk sambung hidup mereka? Ya Allah, hanya Kau mengetahui nasib anak-anak kucing tersebut tanpa ibu mereka di sisi. Sayu hati melihat manusia semacam tiada rasa sayang dalam hati, yang hanya mementingkan keselesaan diri sendiri. Kalau kucing tu mengganggu ketenangan hidup, apalah salahnya buang ibu dan anak-anak kucing tu bersama-sama. Jangan pisahkan mereka. Haiwan juga ada hak untuk hidup. Fikirkan analogy, lihat ibu adik kita yang baru lahir atau anak kita yang baru lahir. Sanggupkah kita biarkan bayi yang baru mengenal dunia itu berusaha mencari makanan untuk dirinya sendiri tanpa hadirnya ibu tersayang di sisi? Sayu hati bila manusia semakin hilang rasa kemanusiaan..



Manusia ada akal. Atas sebab itu dilantik menjadi khalifah bumi. Tuhan tak pilih pokok jadi khalifah, tak pilih binatang atau mana-mana makhluk lain. Tapi kenapa manusia menzalimi makhluk Allah?

No comments:

Post a Comment